Sudah Cukup Haul Untuk Berpindah Balik

Kalau kita hendak bayar zakat, mesti cukup nisab dan haul. Haul itu maknanya cukup tempoh, dalam kes zakat, ia cukup setahun iaitu 1 haul.

Pada 15hb Januari 2014 yang lalu, cukuplah tempoh lima (5) haul sejak saya dipindahkan ke Johor iaitu pada 15hb Januari 2009. Lima tahun lahh. Ehh, boleh ke guna istilah itu atau istilah itu hanya untuk zakat sahaja. Entah, saya tidak fasih. Belajar bahasa Arab (Lughatul Arabiah) semasa di sekolah sampai SRP sahaja. Sudah lama maka sudah lupa.

Oleh kerana saya berpindah seorang diri ke Johor dan keluarga menetap di Selangor; maka sedikit sebanyak kecederaan emosi itu tetap ada. Walaupun saya cuba menahan dan mengubat kecederaan itu tetapi emosi rindu kepada isteri dan anak-anak yang sedang membesar, tidak dapatlah saya mengubati sepenuhnya.

Pisang kelat digonggong helang
Jatuh ke lubuk di Indragiri
Jika berdagang di rantau orang
Baik-baik menjaga diri 


Buah kuini jatuh tercampak
Jatuh menimpa bunga selasih
Biar bertahun dilambung ombak
Tidak ku lupa pada yang kasih


Kalau menyanyi perlahan-lahan
Dibawa angin terdengar jauh
Rindu di hati tidak tertahan
Di dalam air badan berpeluh


Sumber ( http://halaqah.net/v10/index.php?topic=2113.0)

Begitulah serba sedikit pantun Melayu yang menceritakan tentang perasan rindu. Maknanya perasaan itu memang wujud secara fitrah di dalam hati kita seorang manusia. 

Jadi sudah lima tahun di Johor. Rasanya cukup sudah tempoh saya di sini. Secebis budi yang ditabur sepanjang perkhidmatan saya di Johor, harap-harap kalau tidak banyak, adalah sedikit orang di Johor dapat mengingatinya. Kalau tiada yang mengingat pun tidak mengapa. Kerana Allah Maha Mengetahui. Aaaminn.

 




Comments

Popular Posts