Ujian Kesabaran

Allah telah berfirman: "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?" (QS Al-Ankabut:2-3).

Semalam, 9 Mei 2017 aku benar-benar terasa diuji Allah. Sejak pagi Allah menguji kesabaran aku. Bagaimana aku menghadapi situasi yang boleh menyebabkan kemarahan.

1. Aku menjadi ahli grup Whatsapp di tempat aku bekerja. Biasalah ahlinya terdiri dari ketua dan anak-anak buahnya termasuk aku. Ketua aku biasa menghantar mesej bila beliau menghadiri apa-apa majlis dan selalunya ahli yang lain sama ada memuji, menunjukkan sokongan dan tanda gembira. Biasanya aku malas nak beri maklumbalas. Bukan apa, kadang-kadang tu tidak ada apa-apa yang hendak diberi reaksi. Biasanya aku diam sahaja. Tak mahu aku menunjukkan atau berpura-pura gembira atau beri sokongan. Sebab tidak ada apa-apa pun yang hendak ditulis dalam grup itu. Aku tak mahu semata-mata macam hendak jack Bos!!! Tapi hari ini aku membalas satu posting dari ketua aku yang menceritakan aktiviti kelab tempat aku berkhidmat yang mengadakan aktiviti mencandat sotong di Terengganu. Mereka berada di sana masa itu.

Aku tulis, "Jaga-jaga sotong tembak dakwat" dan dijawab oleh ketua aku,

"Itu semua orang sudah tahu!!"

Pedih juga rasa hati tapi aku tahan sahaja hati aku daripada berasa marah.

2.Kejadian kedua berlaku lewat petang. Isteri menelefon. Beliau mengadu tidak sihat. Semasa itu beliau masih di tempat kerja. Kemudian beliau kata mahu balik awal kerana sudah tidak boleh tahan. Kawan-kawan ada di sana mengurut beliau untuk melegakan kesakitan. Beberapa kali aku telefon kerana bimbang. Akhirnya isteri kata selepas diurut beliau berasa lega sedikit dan seorang daripada kawan beliau akan mengekori kereta isteri daripada belakang sehingga Nilai. Takut kalau ada apa-apa terjadi di tengah jalan, boleh lah dibantu. Akhirnya isteri aku sampai ke BSP dan terus ke kinik.

Tidak lama kemudian, isteri menelefon aku mengatakan nanti bila aku balik, terus ke klinik sebab tadi beliau tidak cukup wang untuk bayar kos rawatan dan ubat. Aku kata ok.

Sebaik sampai ke BSP, aku terus ke klinik untuk membayar baki kos rawatan. Selepas membayar, pembantu klinik memulangkan kad pengenalan isteri. Terkejut juga aku. Mengapa pula kad pengenalan isteri ada di situ?. Rupa-rupanya tadi semasa isteri aku tidak cukup wang, mereka minta isteri tinggalkan kad pengenalan sebagai jaminan pembayaran baki kos rawatan. Aku berasa panas hati sungguh kerana isteri diperlakukan begitu. Klinik itu adalah klinik yang biasa kami kunjungi apabila terpaksa membuat rawatan. Sudah beratus atau beribu ringgit dibelanjakan di situ. Dan aku sendiri kenal doktor itu. Sampai hati mereka buat begitu kepada isteri aku seolah-olah kami ini sengkek sangat ke sampai tidak dipercayai akan bayar baki kos rawatan. Aku tahan sahaja hati aku. Mahu sahaja aku pergi mengamuk di klinik itu tetapi bila aku ingatkan kembali ujian Allah dan ingat kepada Allah, aku tidak jadi berbuat demikian.

3. Di sebelah malam, selepas solat Maghrib, aku singgah di kedai membeli makanan kucing. Semasa hendak membelok ke kedai, tiba-tiba sebuah kereta pacuan empat roda jenis Hilux membelok daripada hadapan secara tiba-tiba seolah-olah kereta itu tiada brek. Padahal kalau ikut kebiasaan, aku yang sepatutnya membelok dahulu. Mujur aku sempat membrek motosikal kapcai aku. Kali ketiga aku berasa Allah menguji kesabaran aku. Sempat aku mengurut-urut dada sambil beristigfar banyak-banyak.

Itu lah kejadian yang berlaku dalam sehari. Tiga kejadian yang sebenarnya menguji kesabaran aku. Aku tahan sahaja kemarahan aku kerana teringatkan Allah. Ya Allah, aku tahu setiap ujian dariMu adalah untuk menguji aku sebagai hambaMu. Berilah kesabaran kepada aku dalam setiap ujianMu dan berilah kesabaran kepada di dalam mengerjakan perintahMu dan menjauhi laranganMu.

Comments

Popular Posts