Kartun Oh Kartun

Minat melukis kartun sudah lama, sejak saya masih di sekolah rendah pada tahun 1970-an. Semasa itu karektor yang paling saya minati adalah Ultraman, robot kartun Jepun Brocker Corp Machine Braster dan Fred Flintstone. Tiada buku tulis yang tertinggal tanpa ada lukisan kartun di dalamnya. Semasa itu saya masih tinggal di kampung saya, Kampung Tanjong Ara, Jalan Siputeh, Parit, Perak.

Tinggal di kampung pada zaman itu, hiburan kurang, permainan kurang. Budak-budak macam saya menghabiskan waktu dengan berkeliaran di sekeliling kampung, main polis sentri, aci duduk, main terup, getah dan mandi sungai. Selepas pulang dari sekolah, saya mengaji jahama (muqaddam) di rumah jiran dengan Opah We yang buta sebelah matanya.

Berbalik kepada kisah melukis kartun tadi, saya mengembangkan minat saya dengan terus melukis terutamanya kartun. Zaman kegemilangan saya adalah apabila kartun saya mula disiarkan di dalam Majalah Gila-Gila semasa masih menuntut di Universiti Malaya. Semasa itu saya berguru dengan Penghulu Gila-Gila iaitu Tuan Rejabhad atau panggilan manjanya Pak Jab sahaja. Seorang lagi kartunis yang tinggal satu asrama dengan saya di UM dahulu adalah kartunis Pajero tapi kami saling tidak mengenali, cuma saya tahu beliau.

Banyak lagi kisah kartun ini, saya menyampaikan hasrat hati saya kepada isteri saya pun dulu dengan perantaraan kartun. Tetapi nantilah saya ceritakan lagi. Jari sudah penat menaip.




Gambar saya bersama Allahyarham Pak Jab, guru yang mengajar saya melukis kartun dengan betul. Lokasi gambar di Muzium Sabah, Kota Kinabalu.











Comments

Liza Abu Bakar said…
he..he.. memang comel pun kartunnya. makin sihat sekarang. org parit ke???
Nizar A. Rahim said…
Ya Puan Liza, asal Parit Perak. Tetapi sudah lama tidak pulang ke kampung. Lagi pun kedua orang tua tinggal di Bandar Baru Bangi.

Popular Posts