Pengajaran dari Moneyball

Filem Moneyball | Semalam saya menonton filem Moneyball lakonan pelakon super kacak Brad Pitt di saluran HBO. Filem ini berkenaan biografi pasukan besbol Oakland Athletics tahun 2002 yang dipimpin oleh Pengurus Besarnya iaitu Tuan Billy Beane (lakonan Brad Pitt) dan Pembantu Pengurus Besar, Tuan Peter Brand (lakonan Jonah Hill). Oleh kerana kekurangan dana untuk membeli pemain baru, mereka menggunakan sejenis kaedah statistik untuk menganalisis dan memilih pemain baru berharga rendah yang dijangka dapat membawa kemenangan kepada pasukan besbol mereka. Akhirnya memang mereka berjaya.

Dalam proses memecat pemain yang tidak menunjukkan permainan yang baik, Billy Beane telah mengarahkan pembantunya, Peter Brand untuk berjumpa dan memecat pemain berkenaan tetapi Peter enggan.

Dengan muka selamba beliau berkata, "Tidak, aku tidak akan lakukan tugas bodoh itu".

"Sebenarnya aku tidak sanggup", sambung beliau lagi.

Sambil memandang tepat ke mata Peter Brand yang berbadan besar itu, Billy Beane meninggikan

suara," Memecat pemain dalam pasukan ini adalah tugas kamu. Ia adalah sebahagian daripada

tugas rasmi kamu!"


------------------------------------

Saya mengambil pengajaran daripada adegan tersebut dan melihat kepada apa yang berlaku di persekitaran saya. Ini kes di sebuah agensi teknikal kerajaan. Beberapa minggu lalu, seorang rakan yang telah berkhidmat di satu pejabat yang terletak di pantai timur lebih daripada 10 tahun telah diarahkan bertukar. Beliau tidak pernah bertukar ke mana-mana pejabat lain sebelum ini.

Dan diberitakan dia tidak gembira dan berasa marah dengan arahan pertukaran tersebut.

Lantas beliau nekad lalu menghantar surat notis berhenti kerja serta-merta. Walau bagaimanapun setelah dinasihatkan agar beliau menghantar notis berhenti kerja tiga bulan, agar dia sekeluarga tidak hilang faedah menjalani rawatan di hospital kerajaan, barulah beliau menukar fikirannya.

Apa yang saya cuba sampaikan di sini adalah, membiarkan seseorang kakitangan kerajaan bekerja di satu-satu pejabat dalam tempoh yang sangat lama, adakalanya akan membawa impak negatif kepada kakitangan tersebut dan juga kepada sistem pentadbiran sesuatu pejabat.

Seperkara lagi, memberi arahan pertukaran kepada seseorang adalah tugas seorang ketua. Sama ada tindakannya itu akan disukai atau dibenci orang yang diarahkan bertukar, itu adalah sebahagian daripada perkara yang mesti dihadapi oleh seorang ketua.

Mematuhi arahan bertukar itu pula adalah sebahagian daripada tugas seseorang kakitangan kerajaan. Apabila beliau berasa tidak dapat mematuhi arahan tersebut, maka berhenti kerja adalah salah satu daripada beberapa pilihan yang ada. Dan itulah yang telah dipilih oleh rakan saya tadi.

Comments

Popular Posts